لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

maksudnya;
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu"

(Surah Al-Baqarah : 283)

Monday, October 26, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?


Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Sunday, October 25, 2009

Berubahlah Untuk Memimpin Perubahan – II

ayahandaperjuangan

source

ISLAM memimpin perubahan.

Tetapi MUSLIM itulah yang merealisasikan slogan tersebut.

Justeru cita-cita PAS untuk memimpin perubahan yang sedang pesat melanda kehidupan semasa kita, amat bergantung kepada sejauh manakah integriti dan daya kompetensi pendukungnya yang MUSLIM itu.

Sesungguhnya tidak mudah untuk mengendalikan sebuah gerakan sebesar PAS di Malaysia. Dengan keahlian mencecah sejuta, sebahagiannya menyertai PAS dengan kefahaman Tarbiyah, manakala sebahagian yang lain menyertainya dengan kesedaran Siasah. Sebahagiannya naik kapal dengan rasional, sebahagian lain pula emosional. Dari profesor di menara gading, hinggalah serendah-rendah pendidikan manusia, tetapi ada sesuatu yang difikirkannya.

Kedua-duanya berkumpul di bawah satu hasrat dan cita-cita, tetapi dengan kapasiti yang amat luas kepelbagaiannya.

Justeru sesuai dengan saiz PAS yang semakin besar, jiwa dan pemikiran pendukungnya juga harus membesar sama. Pandangannya perlu besar, dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang datang akibat saiz yang sebegitu besar.

Setelah pemerintahan Islam bukan lagi di kejiranan Madinah, berubah kepada sebuah Daulah yang bersempadankan dua lautan dan benua, kaedah bai’ah bukan lagi berjabat tangan seorang demi seorang di minbar masjid. Ada perkembangan yang berlaku, dan perkembangan itu perlu.

KOMUNIKASI GENERASI EMAS

Sebagai perbandingan, nilaikanlah keberkesanan komunikasi di era Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam memindahkan satu berita atau maklumat daripada seorang kepada seorang yang lain, berbanding dengan komunikasi di era Umar al-Khattab r.a, Ali bin Abi Thalib r.a, membawa kepada era Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.

Tidak perlu menunggu hingga ratusan tahun selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hanya kira-kira 25 tahun selepas kewafatan Baginda, umat Islam sudah teruji dengan Perang Saudara di medan Siffin, berpunca daripada beberapa sebab, terutamanya soal KOMUNIKASI.

Muawiyah radhiyallaahu ‘anhu bukan pemberontak sebagaimana yang dikehendaki imej sebegitu oleh musuhnya. Muawiyah selaku ahli keluarga kepada Uthman radhiyallaahu ‘anhu menghendaki supaya pembunuh Uthman diheret ke muka pengadilan. Hal tersebut harus menjadi keutamaan tertinggi pada ketika itu. Ali radhiyallaahu ‘anhu pula melihat, urusan menghukum pembunuh Uthman adalah sulit sekali untuk dilakukan kerana kucar kacir umat Islam tanpa pemimpin akibat terbunuhnya khalifah Islam ketiga itu. Malah lebih memburukkan keadaan, kumpulan yang memberontak terhadap Uthman hingga membawa kepada pembunuhannya telah membai’ah Ali secara licik dan meletakkan diri mereka di tengah posisi tentera Ali.

Sungguh membingungkan.

Ali berada di Madinah.

Muawiyah berada di Syam.

Jarak ribuan batu yang memisahkan mereka tidak memungkinkan suatu bentuk komunikasi yang efektif untuk masing-masing saling mengetahui sisi pandangan masing-masing.

Persengketaan Perang Siffin menjadi lembaran sejarah yang hitam untuk dikenang oleh umat Islam zaman berzaman. Biar pun Muawiyah dan Ali, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri, kebenaran tidak cukup untuk menyekat perpecahan. Benar sekali sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Sahih Muslim – hadis no: 157]

Ya, perpecahan boleh berlaku di dalam kelompok yang batil. Perpecahan juga boleh melanda kelompok yang benar. Asasnya ialah pada cara pengendalian mereka, sama ada menetapi hukum Sunnatullah atau sebaliknya.

Kita sangat berlapang dada dalam memahami asas kesukaran berkomunikasi yang berlaku di antara Muawiyah dan Ali. Jarak memisahkan mereka. Teknologi masih terbatas.

Namun apakah pula alasan untuk sebuah komuniti di era siber ini mengalami pengurusan maklumat yang tunggang langgang?

KOMUNIKASI GENERASI SEMASA

PAS seharusnya sedar dirinya sudah berada di tengah arus perdana. PAS tidak boleh lagi berfikir seolah-olah mereka hanya sekumpulan individu yang boleh bertemu di sebelah pagi untuk merancang, dan bertemu kembali di sebelah petang untuk muhasabah. Dengan keahlian mencecah sejuta, PAS sedang diuji dengan keupayaannya menguruskan penyebaran maklumat. Bukan sahaja di kalangan pendukungnya, malah rakyat jelata juga mahu tahu.

“Kita sabar dulu. Tunggu penjelasan daripada Tuan Presiden”

“Jangan percaya dengan manipulasi Utusan Malaysia malah Malaysiakini. Kita mesti berbaik sangka”

“Kami ada maklumat yang kami perolehi daripada sumber tertinggi tetapi tidak boleh didedahkan secara terbuka”

“Salah satu petanda Takwin yang sempurna, adalah pada ketaatan yang mutlak kepada arahan atasan”

Kesemua kenyataan di atas, menggambarkan yang PAS masih berfikir kecil ketika tubuhnya sudah membesar bagai raksasa. Masih menganggap, penyampaian maklumat dari mulut ke mulut, menanti pimpinan turun ke akar ubi untuk membuat penjelasan untuk mencerahkan pegangan, sebagai cara untuk menjaga keharmonian jamaah dan parti.

Apakah ini petanda yang PAS masih belum memfakihkan diri dengan bentuk peperangan semasa yang dirinya sedang berada? Bahawa peperangan hari ini adalah peperangan maklumat. Kegagalannya menguasai maklumat bererti mereka berperang tanpa senjata, atau masih berkeris ketika peluru berpandu menembak jauh dari ribuan batu.

Utusan Malaysia tetap Utusan Malaysia. Sentiasa ‘istiqamah’ dalam tingkah laku buruk kewartawanan mereka.

Begitu juga dengan sekalian pihak yang sudah secara tradisinya tidak berpihak kepada mereka.

Tetapi bagaimana dengan Harakahdaily? Bagaimana dengan halaman web rasmi PAS? Bagaimana dengan blog peribadi masing-masing? Mengapa tidak digunakan kesemuanya itu untuk menjelaskan apa yang perlu diperjelaskan kepada massa yang ramai ini.

Ketika segala propaganda UMNO dan Barisan Nasional bertebaran di media semenjak Isnin, apakah di tahun 2009 ini PAS masih mengharapkan ahlinya menunggu hujung minggu untuk mendengar maklumat tersahih dari usrah atau roadshow dan ceramah perdana?

belumbacablog

Kenyataan yang amat ‘tidak menepati zaman’

AMBILLAH IKTIBAR DARI KISAH MEREKA

Saya masih ingat, kejadian di era Reformasi 1998 dahulu, apabila Setiausaha Agung UMNO datang ke England. Slogannya ialah, rakyat Malaysia di perantauan jangan percaya dengan propaganda media asing yang memberikan liputan bias tentang perkembangan di Malaysia. Media asing diletakkan di hujung telunjuk sebagai pesalah yang memporak perandakan pandangan rakyat Malaysia tentang negaranya sendiri.

Lalu Setiausaha Agung UMNO diminta menjelaskan secara ‘live‘ apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mantan Timbalan Perdana Menteri lebam matanya ketika berada di dalam tahanan Polis. Jawapan sambil lewa Setiausaha Agung UMNO (berserta dengan kesungguhan melarang percaya kepada media asing) memanaskan kepala setiap yang hadir sehingga ada yang hampir menumbuk beliau.

Sungguh membuang masa.

Ya, jangan percaya media asing.

Tetapi ruang yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Sama jugalah dengan PAS. Jangan percaya Utusan Malaysia. Jangan percaya dengan Malaysiakini. Jangan percaya dengan ‘bloggers’ (bukankah ini kata-kata BN di ambang kekalahan mereka Mac 2008 yang lalu?), jangan percaya dengan TV3… habis mahu percaya dengan siapa?

Harakahdaily tiada maklumat.

Laman web rasmi PAS tiada maklumat.

Usrah masih bertatih untuk mengecap nilai efisyensi.

Dan dalam masa yang sama Mursyidul Am berkata sesuatu manakala Tuan Presiden berkata sesuatu yang lain.

Alasan manipulasi media sudah tidak laku kerana PAS serta sesiapa sahaja mempunyai 1001 ruang untuk menyatakan apa yang tidak boleh dinyatakannya di media milik UMNO atau Barisan Nasional. Mana mungkin penjelasan dilewat-lewatkan, berulang-ulang kali… tanpa menjangkakan kerugian dan kemalangan menimpa PAS akibat sikap tidak kompeten seperti ini.

Jangan nanti alasan ‘ada benda yang orang tidak boleh tahu’ diulang berkali-kali sehingga massa pun sudah malas untuk ambil tahu.

Era perang digital, jangan lagi membawa sikap analog yang membinasakan.

Saya menjangkakan laluan yang sukar buat Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, jika perubahan ini gagal dilaksanakan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Thursday, October 22, 2009

UMNO Kembali Perkasa!!!!!!!?

Anda tak percaya? Saksikan video ini kehebatan UMNO

Bubar DUN, PR Perak sudah bersedia


KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.

Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

"Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi.

"selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini."

Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.

"Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN," katanya.

ImageMengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.

Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua ADUN pakatan mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing. _

Thursday, October 8, 2009

Cara UMNO Bodohkan Orang Melayu



PEMBANGUNAN DAN PROJEK! Inilah yang selalu dilaungkan oleh UMNO/BN untuk membuatkan orang Melayu terus jadi bodoh. Mengatakan bahawa tak ada pembangunan jika pembangkang memerintah. Parti yang selalu jadi mangsa ialah PAS, dan negeri yang selalu dituju ialah Kelantan, kononnya tak ada pembangunan. Hebat sangat ke pembangunan yang dicanangkan oleh UMNO tu?


Jangan perbodohkan rakyat. Sabah negeri termiskin di Malaysia, diikuti oleh Terengganu. Kedua-dua negeri ini diperintah oleh BN. Kelantan pada tempat ke-6. Terengganu dan Sabah mempunyai hasil mahsul yang banyak, tapi rakyat miskin disebabkan UMNO. Apa gunanya adanya pembangunan tapi rakyat hidup dalam kesempitan? Apa nak dibanggakan? Itu tak termasuk pembangunan rohani. Apa sumbangan UMNO dalam membangunkan rohani orang Islam di Malaysia?


Kelantan walaupun pembangunan kurang, itu disebabkan UMNO/BN yang jahat lagi khianat. Bermacam-macam sekatan dibuat terhadap Kelantan semenjak tahun 1990. Walaupun ada rakyat Kelantan yang hidup susah, tapi mereka ada bermacam-macam aset. Ada tanah, barang kemas (terutamanya kaum wanita), dan ternakan. Kita tengok walaupun penduduk negeri Kelantan dari segi luarannya hidup tak berapa senang, tapi mereka mempunyai aset dan harta yang bukan di dalam bentuk wang. Itu lebih baik daripada negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN, tapi tanah orang Melayu habis kesemuanya digadai kepada puak-puak kapitalis.


Malaysia negara yang kaya, mempunyai banyak hasil mahsul - petroleum, kayu balak, berbagai bahan galian, dan lain-lain. Tapi rakyat kebanyakannya hidup kesempitan. Jauh ketinggalan dengan negara yang setaraf dengan Malaysia suatu ketika dulu. Anak-anak bangsa nak belajar, terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Korea Selatan suatu ketika dulu setaraf pertumbuhan ekonominya dengan Malaysia, sekarang jauh lebih maju. Di sana sambungan internet jauh lebih baik dari Malaysia. Pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan berkali ganda daripada rakyat Malaysia (bukankah suatu ketika dulu kerajaan UMNO membuat dasar Pandang Ke Timur?).


Kita tengok pula Singapura. Hakikatnya rakyat di sana 5 kali ganda pendapatannya berbanding rakyat Malaysia. Walaupun gaji tak seberapa, tapi mereka hidup senang. Singapura suatu ketika dahulu sebahagian daripada Malaysia, sekarang menjadi jauh tinggi tarafnya dan terkenal di serata dunia. Hanya orang Melayu Malaysia masih diperbodohkan dan dicandu oleh UMNO/BN. Pembangunan di Singapura dan Korea Selatan dengan pembangunan di Malaysia boleh diibaratkan seperti langit dengan bumi. Apalah yang ada dengan Korea Selatan dan Singapura - hasil mahsul kurang berbanding Malaysia, tapi negara-negara tersebut telah meninggalkan Malaysia jauh ke belakang.


Setakat rumah batu 2 tingkat, di Korea Selatan ianya hanya didiami oleh rakyatnya yang bekerja sebagai tukang paip. Di kampung-kampung, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah komputer. Di Malaysia? Fikirkan sendiri. Walaupun pendapatan rakyat Singapura dan Korea Selatan ada yang kecil, tapi mereka tidak rasa terbeban. Mereka mampu hidup. Hanya Malaysia saja yang terseksa jika kerja dengan gaji yang kecil, tambahan pula bagi mereka yang sudah berkeluarga.


Malaysia mempunyai pembangunan, dan salah satu negara yang membangun, tapi hakikatnya ia boleh dikategorikan sebagai negara miskin - masih ramai rakyatnya tidak cukup makan dalam satu hari, harga barang melambung naik, tiada jumlah gaji tetap, pendidikan mahal - ditambah lagi dengan sistem ekonomi kapitalis yang menindas, membuatkan rakyat Malaysia sungguh malang nasibnya kerana mempunyai UMNO sebagai pemimpin. Setiap 5 tahun membodohkan rakyat kononnya hanya mereka boleh bawakan pembangunan, dan mangsanya ialah orang Melayu. UMNO telah menjadikan orang Melayu tak tahu berfikir dengan rasional. Nasiblah!


Nota :


Rakyat di negara Jepun dan Korea Selatan, walaupun berkerja sebagai tukang paip, buruh binaan, peniaga kecil-kecilan, petani - mereka langsung tidak merasa terhina dan rendah diri dengan pekerjaan sebegitu. Dan negara sebegitu tidak perlukan orang asing untuk membangunkan ekonomi negara, berbanding Malaysia. Rakyat Korea Selatan dan Jepun tidak merasa terbeban jika bekerja sebegitu, kerana pendapatannya mampu menyara keluarga mereka, dan mereka ada lebihan untuk dibuat simpanan - ini kerana ekonomi yang baik dan diuruskan oleh kerajaan yang baik - bebas rasuah. Jauh dengan Malaysia.


Malaysia pula, rakyatnya (orang Melayu) merasa terhina jika bekerja sebagai tukang cuci, buruh binaan, tukang besi dan paip, kerana mereka telah dibodohkan oleh kerajaan UMNO/BN sejak dari dulu. Fikiran masih lagi dijajah, hidup penuh dengan propaganda - jadilah Melayu sebagai bangsa yang paling bodoh dan bahalol. Ini menyebabkan kebanjiran pendatang asing yang mambawa 1001 permasalahan di negara ini untuk berkerja sebagai buruh, tukang cuci dan lain-lain. Salahkan UMNO dan kebodohan bangsa Melayu sendiri apabila negara Malaysia terpalit dengan berbagai skandal, rasuah, imej tercemar dengan kemiskinan, kebanjiran pendatang asing.


Orang Melayu masih bodoh kerana memilih dan setia kepada UMNO/BN. Kalaulah bangsa ini cerdik, dari dulu lagi Malaysia bertukar kerajaan.


p/s : Catatan ini adalah hasil luahan saya sendiri selaku warganegara yang melihat keadaan negara ini yang penuh denga kekotoran dan benda yang jijik. Boleh di cut-paste jika mahu.

Refomis Jalanan

Friday, October 2, 2009

Undi Pos Tidak Telus

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/DSCN0541.JPGMARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata undi pos masih lagi tidak telus kerana masih terdapat dakwaan pengundi-pengundi pos yang tidak mengundi tetapi kertas undi mereka telah di undi orang lain.

”Cuma kita masih lagi mepersoalkan undi pos, kerana undi pos tidak telus, masih lagi terdapat ’igauan-igauan’ yang menyatakan bahawa disana terdapat pengundi-pengundi yang tidak mengundi tapi kertas mereka diundi, ini (dakwaan yang) masyhur dalam undi pos, ini yang kita bimbang”katanya.


Katanya, PAS mempunyai bukti dan ada individu yang sanggup memberikan keterangan terhadap perkara diatas.

(Gambar - Dato' Seri Hadi mendengar penjelasan bagaimana ribut melanda Kampung Pengakaln Berangan)

Beliau juga berkata tidak ada kerahsiaan dalam undi pos dimana dengan kaedah yang ada sekarang, boleh diketahui siapa yang membuang undi berkenaan.

”kita telah membuat bantahan kepada SPR, sehingga kini meraka tak mampu, contohnya kerahsiaan undi pos tidak ada sebenarnya,

”kerana diberi dua kertas (dalam proses undi pos) satu kertas undi, satu kertas saksi, yang mengesahkan dia mengundi, kemudian kertas ini dimasukkan kedalam dua sampul berlainan dan dimasukkan kedalam (sebuah) sampul besar,

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/DSCN0547.JPG”apabila buka dua sampul ini, dia (pihak berkenaan) tahulah orang (pengundi pos) undi apa, disitu ada unsur ugutan berlaku”jelasnya kepada pihak media selepas mengunjungi mangsa ribut di sekitar Kampung Pengkalan Berangan, di sini, kelmarin.

Namun demikian beliau berharap agar para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan membuat pemilihan tepat bagi memilih wakil rakyat terbaik untuk mereka.

Menurutnya, pengundi perlu membuat penilaian dengan sebaik-baiknya bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi tuntutan rakyat, sebagaimana negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi bersih.

Beliau turut yakin calon PAS, Zulkefly Mohd Omar yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan adalah seorang yang amanah kerana pernah bekerja dengan Pusat Zakat Selangor dan mempunyai rekod bersih dalam mengendalikan kewangan.


”Terpulang kepada BN (Barisan Nasional) nak pilih siap (calon mereka) kerana itu hak mereka, tapi kita yakin calon kita adalah bersih dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab untuk memimpin rakyat.

”InsyaAllah,kita telah pilih calon terbaik dari segi khidmat yang mampu diberi kepada masyarakat Bagan Pinang dan sekiranya terpilih menjadi ADUN, kita kita yakin beliau mampu memainkan peranan yang besar,” katanya apabila ditanya pihak media tentang perbezaan antara calon PAS dan BN.

Sehubungan itu, beliau yakin, PAS akan menang dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 10 Oktober depan berdasarkan prestasi pilihanraya umum ke 12, Mac 2008.

”Peluang untuk kita (PAS) menang sangat baik kerana kita sudah mencapai kemajuan di kawasan itu., apabila kita mencapai undi 4,000 dan Barisan Nasional 6,000 undi Pos hanya 5,000, menunjukkan undi rakyat kita telah menang di kawasan (Bagan Pinang) ”katanya.

Turut hadir mengiringi Dato’ Seri Abdul Hadi adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali, Penasihat MTD Pengkalan Berangan, Haji Mohd Deraman, dan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Abdullah.

Anwar Palu Gendang Perang menggempur Bagan Pinang.

Selepas Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kedudukannya dalam 8 dari 9 pilihanraya kecil pasca pru12 lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membunyikan gendang perang menandakan bermulanya kempen menggempur Bagan Pinang.