لِلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ وَإِنْ تُبْدُوا مَا فِي أَنْفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُمْ بِهِ اللَّهُ فَيَغْفِرُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

maksudnya;
"Kepunyaan Allah-lah segala apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hatimu atau kamu menyembunyikan, niscaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatanmu itu. Maka Allah mengampuni siapa yang dikehendaki-Nya dan menyiksa siapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu"

(Surah Al-Baqarah : 283)

Monday, October 26, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?


Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Sunday, October 25, 2009

Berubahlah Untuk Memimpin Perubahan – II

ayahandaperjuangan

source

ISLAM memimpin perubahan.

Tetapi MUSLIM itulah yang merealisasikan slogan tersebut.

Justeru cita-cita PAS untuk memimpin perubahan yang sedang pesat melanda kehidupan semasa kita, amat bergantung kepada sejauh manakah integriti dan daya kompetensi pendukungnya yang MUSLIM itu.

Sesungguhnya tidak mudah untuk mengendalikan sebuah gerakan sebesar PAS di Malaysia. Dengan keahlian mencecah sejuta, sebahagiannya menyertai PAS dengan kefahaman Tarbiyah, manakala sebahagian yang lain menyertainya dengan kesedaran Siasah. Sebahagiannya naik kapal dengan rasional, sebahagian lain pula emosional. Dari profesor di menara gading, hinggalah serendah-rendah pendidikan manusia, tetapi ada sesuatu yang difikirkannya.

Kedua-duanya berkumpul di bawah satu hasrat dan cita-cita, tetapi dengan kapasiti yang amat luas kepelbagaiannya.

Justeru sesuai dengan saiz PAS yang semakin besar, jiwa dan pemikiran pendukungnya juga harus membesar sama. Pandangannya perlu besar, dan bersedia untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang datang akibat saiz yang sebegitu besar.

Setelah pemerintahan Islam bukan lagi di kejiranan Madinah, berubah kepada sebuah Daulah yang bersempadankan dua lautan dan benua, kaedah bai’ah bukan lagi berjabat tangan seorang demi seorang di minbar masjid. Ada perkembangan yang berlaku, dan perkembangan itu perlu.

KOMUNIKASI GENERASI EMAS

Sebagai perbandingan, nilaikanlah keberkesanan komunikasi di era Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dalam memindahkan satu berita atau maklumat daripada seorang kepada seorang yang lain, berbanding dengan komunikasi di era Umar al-Khattab r.a, Ali bin Abi Thalib r.a, membawa kepada era Bani Umayyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah.

Tidak perlu menunggu hingga ratusan tahun selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Hanya kira-kira 25 tahun selepas kewafatan Baginda, umat Islam sudah teruji dengan Perang Saudara di medan Siffin, berpunca daripada beberapa sebab, terutamanya soal KOMUNIKASI.

Muawiyah radhiyallaahu ‘anhu bukan pemberontak sebagaimana yang dikehendaki imej sebegitu oleh musuhnya. Muawiyah selaku ahli keluarga kepada Uthman radhiyallaahu ‘anhu menghendaki supaya pembunuh Uthman diheret ke muka pengadilan. Hal tersebut harus menjadi keutamaan tertinggi pada ketika itu. Ali radhiyallaahu ‘anhu pula melihat, urusan menghukum pembunuh Uthman adalah sulit sekali untuk dilakukan kerana kucar kacir umat Islam tanpa pemimpin akibat terbunuhnya khalifah Islam ketiga itu. Malah lebih memburukkan keadaan, kumpulan yang memberontak terhadap Uthman hingga membawa kepada pembunuhannya telah membai’ah Ali secara licik dan meletakkan diri mereka di tengah posisi tentera Ali.

Sungguh membingungkan.

Ali berada di Madinah.

Muawiyah berada di Syam.

Jarak ribuan batu yang memisahkan mereka tidak memungkinkan suatu bentuk komunikasi yang efektif untuk masing-masing saling mengetahui sisi pandangan masing-masing.

Persengketaan Perang Siffin menjadi lembaran sejarah yang hitam untuk dikenang oleh umat Islam zaman berzaman. Biar pun Muawiyah dan Ali, masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri, kebenaran tidak cukup untuk menyekat perpecahan. Benar sekali sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

“Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga dua kumpulan yang besar saling berperang. Berlaku antara kedua-duanya pembunuhan yang dahsyat padahal seruan kedua-dua kumpulan tersebut adalah satu (yakni kebaikan Islam dan umatnya).” [Sahih Muslim – hadis no: 157]

Ya, perpecahan boleh berlaku di dalam kelompok yang batil. Perpecahan juga boleh melanda kelompok yang benar. Asasnya ialah pada cara pengendalian mereka, sama ada menetapi hukum Sunnatullah atau sebaliknya.

Kita sangat berlapang dada dalam memahami asas kesukaran berkomunikasi yang berlaku di antara Muawiyah dan Ali. Jarak memisahkan mereka. Teknologi masih terbatas.

Namun apakah pula alasan untuk sebuah komuniti di era siber ini mengalami pengurusan maklumat yang tunggang langgang?

KOMUNIKASI GENERASI SEMASA

PAS seharusnya sedar dirinya sudah berada di tengah arus perdana. PAS tidak boleh lagi berfikir seolah-olah mereka hanya sekumpulan individu yang boleh bertemu di sebelah pagi untuk merancang, dan bertemu kembali di sebelah petang untuk muhasabah. Dengan keahlian mencecah sejuta, PAS sedang diuji dengan keupayaannya menguruskan penyebaran maklumat. Bukan sahaja di kalangan pendukungnya, malah rakyat jelata juga mahu tahu.

“Kita sabar dulu. Tunggu penjelasan daripada Tuan Presiden”

“Jangan percaya dengan manipulasi Utusan Malaysia malah Malaysiakini. Kita mesti berbaik sangka”

“Kami ada maklumat yang kami perolehi daripada sumber tertinggi tetapi tidak boleh didedahkan secara terbuka”

“Salah satu petanda Takwin yang sempurna, adalah pada ketaatan yang mutlak kepada arahan atasan”

Kesemua kenyataan di atas, menggambarkan yang PAS masih berfikir kecil ketika tubuhnya sudah membesar bagai raksasa. Masih menganggap, penyampaian maklumat dari mulut ke mulut, menanti pimpinan turun ke akar ubi untuk membuat penjelasan untuk mencerahkan pegangan, sebagai cara untuk menjaga keharmonian jamaah dan parti.

Apakah ini petanda yang PAS masih belum memfakihkan diri dengan bentuk peperangan semasa yang dirinya sedang berada? Bahawa peperangan hari ini adalah peperangan maklumat. Kegagalannya menguasai maklumat bererti mereka berperang tanpa senjata, atau masih berkeris ketika peluru berpandu menembak jauh dari ribuan batu.

Utusan Malaysia tetap Utusan Malaysia. Sentiasa ‘istiqamah’ dalam tingkah laku buruk kewartawanan mereka.

Begitu juga dengan sekalian pihak yang sudah secara tradisinya tidak berpihak kepada mereka.

Tetapi bagaimana dengan Harakahdaily? Bagaimana dengan halaman web rasmi PAS? Bagaimana dengan blog peribadi masing-masing? Mengapa tidak digunakan kesemuanya itu untuk menjelaskan apa yang perlu diperjelaskan kepada massa yang ramai ini.

Ketika segala propaganda UMNO dan Barisan Nasional bertebaran di media semenjak Isnin, apakah di tahun 2009 ini PAS masih mengharapkan ahlinya menunggu hujung minggu untuk mendengar maklumat tersahih dari usrah atau roadshow dan ceramah perdana?

belumbacablog

Kenyataan yang amat ‘tidak menepati zaman’

AMBILLAH IKTIBAR DARI KISAH MEREKA

Saya masih ingat, kejadian di era Reformasi 1998 dahulu, apabila Setiausaha Agung UMNO datang ke England. Slogannya ialah, rakyat Malaysia di perantauan jangan percaya dengan propaganda media asing yang memberikan liputan bias tentang perkembangan di Malaysia. Media asing diletakkan di hujung telunjuk sebagai pesalah yang memporak perandakan pandangan rakyat Malaysia tentang negaranya sendiri.

Lalu Setiausaha Agung UMNO diminta menjelaskan secara ‘live‘ apakah sebenarnya yang berlaku sehingga mantan Timbalan Perdana Menteri lebam matanya ketika berada di dalam tahanan Polis. Jawapan sambil lewa Setiausaha Agung UMNO (berserta dengan kesungguhan melarang percaya kepada media asing) memanaskan kepala setiap yang hadir sehingga ada yang hampir menumbuk beliau.

Sungguh membuang masa.

Ya, jangan percaya media asing.

Tetapi ruang yang diberikan tidak dimanfaatkan untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Sama jugalah dengan PAS. Jangan percaya Utusan Malaysia. Jangan percaya dengan Malaysiakini. Jangan percaya dengan ‘bloggers’ (bukankah ini kata-kata BN di ambang kekalahan mereka Mac 2008 yang lalu?), jangan percaya dengan TV3… habis mahu percaya dengan siapa?

Harakahdaily tiada maklumat.

Laman web rasmi PAS tiada maklumat.

Usrah masih bertatih untuk mengecap nilai efisyensi.

Dan dalam masa yang sama Mursyidul Am berkata sesuatu manakala Tuan Presiden berkata sesuatu yang lain.

Alasan manipulasi media sudah tidak laku kerana PAS serta sesiapa sahaja mempunyai 1001 ruang untuk menyatakan apa yang tidak boleh dinyatakannya di media milik UMNO atau Barisan Nasional. Mana mungkin penjelasan dilewat-lewatkan, berulang-ulang kali… tanpa menjangkakan kerugian dan kemalangan menimpa PAS akibat sikap tidak kompeten seperti ini.

Jangan nanti alasan ‘ada benda yang orang tidak boleh tahu’ diulang berkali-kali sehingga massa pun sudah malas untuk ambil tahu.

Era perang digital, jangan lagi membawa sikap analog yang membinasakan.

Saya menjangkakan laluan yang sukar buat Pakatan Rakyat bagi Pilihanraya Umum ke-13 akan datang, jika perubahan ini gagal dilaksanakan.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Thursday, October 22, 2009

UMNO Kembali Perkasa!!!!!!!?

Anda tak percaya? Saksikan video ini kehebatan UMNO

Bubar DUN, PR Perak sudah bersedia


KUALA LUMPUR, 21 Okt: Pakatan Rakyat Perak tidak menolak kemungkinan desas desus bahawa Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan akan berlaku dalam masa terdekat.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain ketika diminta mengulas perkara itu memberitahu spekulasi yang sedang bertiup kencang di negeri itu sekarang ini ada asasnya.

Antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri dan keyakinan BN selepas menang pada Pilihan raya Kecil Bagan Pinang 11 Oktober lalu.

"Kemungkinan besar akan berlaku. Ada beberapa asas untuk saya berkata begitu, antaranya kucar kacir dalam pentadbiran negeri sekarang, contohnya GLC tidak berfungsi, masalah ketua kampung kena pecat dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi.

"selain itu, mereka juga sudah berkeyakinan diterima rakyat selepas menang di Bagan Pinang, dan yang paling akhir sokongan rakyat pada pelancaran 1Malaysia yang dilancar Datuk Seri Najib di sini baru baru ini."

Bersedia atas segala kemungkinan yang bakal berlaku, PAS negeri katanya sudah mula menggerakkan jentera mereka bagi memastikan kerajaan negeri Perak kembali kepada Pakatan Rakyat.

"Kita sudah bersedia lama, dan terbaru pada 17 Oktober baru-baru ini kami telah mengadakan taklimat kepada seluruh PAS kawasan sebagai persediaan berdepan pembubaran DUN," katanya.

ImageMengulas isu sama, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Meng juga yakin BN akan membubarkan DUN perak berasakan kemenangan besar pada PRK Bagan Pinang.

Menurutnya jika benar, ianya bertepatan dengan desakan rayat negeri itu selama ini yang mahu kerajaan negeri dipilih semula oleh mereka.

"Jika benar, ini memang hasrat rakyat. Mengikut pungutan suara gabungan NGO yang diumum minggu lalu, 10 ribu yang ditemuduga, 92.15 peratus bersetuju DUN Perak dibubarkan," katanya ketika ditemui di parlimen pagi tadi.

Beliau yang juga ADUN Pantai Remis berkata, pakatan Perak sememangnya menunggu perkara itu berlaku sebagai penyelesaian terbaik kemelut negeri itu yang sudah berlarutan hampir sembilan bulan lalu.

"Kita bersiap sedia sepanjang masa, kita yakin prestasi 10 bulan memerintah Perak dan sengat kerjasama PAS-DAP-PKR memmbuatkan rakyat akan bersama kita," ujarnya.

Krisis perlembagaan negeri Perak sekali lagi bakal mendapat perhatian apabila Speaker Pakatan, V.Sivakumar dan Speaker BN, R.Ganesan masing-masing memanggil sidang DUN pada tarikh sama 28 Oktober ini.

Kesemua ADUN pakatan mahupun BN telah menyatakan komitmen untuk hadir pada persidangan tersebut berdasarkan notis panggilan dari Speaker masing-masing. _

Thursday, October 8, 2009

Cara UMNO Bodohkan Orang Melayu



PEMBANGUNAN DAN PROJEK! Inilah yang selalu dilaungkan oleh UMNO/BN untuk membuatkan orang Melayu terus jadi bodoh. Mengatakan bahawa tak ada pembangunan jika pembangkang memerintah. Parti yang selalu jadi mangsa ialah PAS, dan negeri yang selalu dituju ialah Kelantan, kononnya tak ada pembangunan. Hebat sangat ke pembangunan yang dicanangkan oleh UMNO tu?


Jangan perbodohkan rakyat. Sabah negeri termiskin di Malaysia, diikuti oleh Terengganu. Kedua-dua negeri ini diperintah oleh BN. Kelantan pada tempat ke-6. Terengganu dan Sabah mempunyai hasil mahsul yang banyak, tapi rakyat miskin disebabkan UMNO. Apa gunanya adanya pembangunan tapi rakyat hidup dalam kesempitan? Apa nak dibanggakan? Itu tak termasuk pembangunan rohani. Apa sumbangan UMNO dalam membangunkan rohani orang Islam di Malaysia?


Kelantan walaupun pembangunan kurang, itu disebabkan UMNO/BN yang jahat lagi khianat. Bermacam-macam sekatan dibuat terhadap Kelantan semenjak tahun 1990. Walaupun ada rakyat Kelantan yang hidup susah, tapi mereka ada bermacam-macam aset. Ada tanah, barang kemas (terutamanya kaum wanita), dan ternakan. Kita tengok walaupun penduduk negeri Kelantan dari segi luarannya hidup tak berapa senang, tapi mereka mempunyai aset dan harta yang bukan di dalam bentuk wang. Itu lebih baik daripada negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN, tapi tanah orang Melayu habis kesemuanya digadai kepada puak-puak kapitalis.


Malaysia negara yang kaya, mempunyai banyak hasil mahsul - petroleum, kayu balak, berbagai bahan galian, dan lain-lain. Tapi rakyat kebanyakannya hidup kesempitan. Jauh ketinggalan dengan negara yang setaraf dengan Malaysia suatu ketika dulu. Anak-anak bangsa nak belajar, terpaksa membayar dengan harga yang mahal. Korea Selatan suatu ketika dulu setaraf pertumbuhan ekonominya dengan Malaysia, sekarang jauh lebih maju. Di sana sambungan internet jauh lebih baik dari Malaysia. Pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan berkali ganda daripada rakyat Malaysia (bukankah suatu ketika dulu kerajaan UMNO membuat dasar Pandang Ke Timur?).


Kita tengok pula Singapura. Hakikatnya rakyat di sana 5 kali ganda pendapatannya berbanding rakyat Malaysia. Walaupun gaji tak seberapa, tapi mereka hidup senang. Singapura suatu ketika dahulu sebahagian daripada Malaysia, sekarang menjadi jauh tinggi tarafnya dan terkenal di serata dunia. Hanya orang Melayu Malaysia masih diperbodohkan dan dicandu oleh UMNO/BN. Pembangunan di Singapura dan Korea Selatan dengan pembangunan di Malaysia boleh diibaratkan seperti langit dengan bumi. Apalah yang ada dengan Korea Selatan dan Singapura - hasil mahsul kurang berbanding Malaysia, tapi negara-negara tersebut telah meninggalkan Malaysia jauh ke belakang.


Setakat rumah batu 2 tingkat, di Korea Selatan ianya hanya didiami oleh rakyatnya yang bekerja sebagai tukang paip. Di kampung-kampung, setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah komputer. Di Malaysia? Fikirkan sendiri. Walaupun pendapatan rakyat Singapura dan Korea Selatan ada yang kecil, tapi mereka tidak rasa terbeban. Mereka mampu hidup. Hanya Malaysia saja yang terseksa jika kerja dengan gaji yang kecil, tambahan pula bagi mereka yang sudah berkeluarga.


Malaysia mempunyai pembangunan, dan salah satu negara yang membangun, tapi hakikatnya ia boleh dikategorikan sebagai negara miskin - masih ramai rakyatnya tidak cukup makan dalam satu hari, harga barang melambung naik, tiada jumlah gaji tetap, pendidikan mahal - ditambah lagi dengan sistem ekonomi kapitalis yang menindas, membuatkan rakyat Malaysia sungguh malang nasibnya kerana mempunyai UMNO sebagai pemimpin. Setiap 5 tahun membodohkan rakyat kononnya hanya mereka boleh bawakan pembangunan, dan mangsanya ialah orang Melayu. UMNO telah menjadikan orang Melayu tak tahu berfikir dengan rasional. Nasiblah!


Nota :


Rakyat di negara Jepun dan Korea Selatan, walaupun berkerja sebagai tukang paip, buruh binaan, peniaga kecil-kecilan, petani - mereka langsung tidak merasa terhina dan rendah diri dengan pekerjaan sebegitu. Dan negara sebegitu tidak perlukan orang asing untuk membangunkan ekonomi negara, berbanding Malaysia. Rakyat Korea Selatan dan Jepun tidak merasa terbeban jika bekerja sebegitu, kerana pendapatannya mampu menyara keluarga mereka, dan mereka ada lebihan untuk dibuat simpanan - ini kerana ekonomi yang baik dan diuruskan oleh kerajaan yang baik - bebas rasuah. Jauh dengan Malaysia.


Malaysia pula, rakyatnya (orang Melayu) merasa terhina jika bekerja sebagai tukang cuci, buruh binaan, tukang besi dan paip, kerana mereka telah dibodohkan oleh kerajaan UMNO/BN sejak dari dulu. Fikiran masih lagi dijajah, hidup penuh dengan propaganda - jadilah Melayu sebagai bangsa yang paling bodoh dan bahalol. Ini menyebabkan kebanjiran pendatang asing yang mambawa 1001 permasalahan di negara ini untuk berkerja sebagai buruh, tukang cuci dan lain-lain. Salahkan UMNO dan kebodohan bangsa Melayu sendiri apabila negara Malaysia terpalit dengan berbagai skandal, rasuah, imej tercemar dengan kemiskinan, kebanjiran pendatang asing.


Orang Melayu masih bodoh kerana memilih dan setia kepada UMNO/BN. Kalaulah bangsa ini cerdik, dari dulu lagi Malaysia bertukar kerajaan.


p/s : Catatan ini adalah hasil luahan saya sendiri selaku warganegara yang melihat keadaan negara ini yang penuh denga kekotoran dan benda yang jijik. Boleh di cut-paste jika mahu.

Refomis Jalanan

Friday, October 2, 2009

Undi Pos Tidak Telus

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/DSCN0541.JPGMARANG - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata undi pos masih lagi tidak telus kerana masih terdapat dakwaan pengundi-pengundi pos yang tidak mengundi tetapi kertas undi mereka telah di undi orang lain.

”Cuma kita masih lagi mepersoalkan undi pos, kerana undi pos tidak telus, masih lagi terdapat ’igauan-igauan’ yang menyatakan bahawa disana terdapat pengundi-pengundi yang tidak mengundi tapi kertas mereka diundi, ini (dakwaan yang) masyhur dalam undi pos, ini yang kita bimbang”katanya.


Katanya, PAS mempunyai bukti dan ada individu yang sanggup memberikan keterangan terhadap perkara diatas.

(Gambar - Dato' Seri Hadi mendengar penjelasan bagaimana ribut melanda Kampung Pengakaln Berangan)

Beliau juga berkata tidak ada kerahsiaan dalam undi pos dimana dengan kaedah yang ada sekarang, boleh diketahui siapa yang membuang undi berkenaan.

”kita telah membuat bantahan kepada SPR, sehingga kini meraka tak mampu, contohnya kerahsiaan undi pos tidak ada sebenarnya,

”kerana diberi dua kertas (dalam proses undi pos) satu kertas undi, satu kertas saksi, yang mengesahkan dia mengundi, kemudian kertas ini dimasukkan kedalam dua sampul berlainan dan dimasukkan kedalam (sebuah) sampul besar,

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita11/DSCN0547.JPG”apabila buka dua sampul ini, dia (pihak berkenaan) tahulah orang (pengundi pos) undi apa, disitu ada unsur ugutan berlaku”jelasnya kepada pihak media selepas mengunjungi mangsa ribut di sekitar Kampung Pengkalan Berangan, di sini, kelmarin.

Namun demikian beliau berharap agar para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan membuat pemilihan tepat bagi memilih wakil rakyat terbaik untuk mereka.

Menurutnya, pengundi perlu membuat penilaian dengan sebaik-baiknya bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar memenuhi tuntutan rakyat, sebagaimana negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi bersih.

Beliau turut yakin calon PAS, Zulkefly Mohd Omar yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan adalah seorang yang amanah kerana pernah bekerja dengan Pusat Zakat Selangor dan mempunyai rekod bersih dalam mengendalikan kewangan.


”Terpulang kepada BN (Barisan Nasional) nak pilih siap (calon mereka) kerana itu hak mereka, tapi kita yakin calon kita adalah bersih dan amanah serta mampu memikul tanggungjawab untuk memimpin rakyat.

”InsyaAllah,kita telah pilih calon terbaik dari segi khidmat yang mampu diberi kepada masyarakat Bagan Pinang dan sekiranya terpilih menjadi ADUN, kita kita yakin beliau mampu memainkan peranan yang besar,” katanya apabila ditanya pihak media tentang perbezaan antara calon PAS dan BN.

Sehubungan itu, beliau yakin, PAS akan menang dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang yang akan diadakan pada 10 Oktober depan berdasarkan prestasi pilihanraya umum ke 12, Mac 2008.

”Peluang untuk kita (PAS) menang sangat baik kerana kita sudah mencapai kemajuan di kawasan itu., apabila kita mencapai undi 4,000 dan Barisan Nasional 6,000 undi Pos hanya 5,000, menunjukkan undi rakyat kita telah menang di kawasan (Bagan Pinang) ”katanya.

Turut hadir mengiringi Dato’ Seri Abdul Hadi adalah Yang DiPertua PAS Kawasan Marang, Haji Yahaya Ali, Penasihat MTD Pengkalan Berangan, Haji Mohd Deraman, dan Pengarah MTD Pengkalan Berangan, Ustaz Abdullah.

Saturday, September 19, 2009

Dari Shah Alam Ke Kulim


Respon Buat YB Zol Nordin

Baru kini saya berkesempatan membaca tulisan YB Zul Nordin berhubung isu pemindahan kuil Seksyen 19 ke Seksyen 23 yang juga telah dicetak di muka hadapan Utusan Malaysia. Saya dapati tulisan dan anlisa beliau terhadap isu ini begitu lemah dan tidak profesional sama sekali. Sebagai seorang peguam dan Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih teliti dan bertanggung jawab dalam tulisan beliau. Faktanya kesemuanya tidak tepat dan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas. Oleh yang demikian, untuk mengelakkan kekeliruan, adalah wajar bagi saya menjelaskan isu sebenar untuk makluman beliau dan mereka yang bersependapat dengan beliau.


Pada mulanya YB Zul menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan ‘demonstrasi kepala lembu’. Beliau secara jelas menyatakan ianya “tidak dihalalkan, malahan ditegah oleh Al-Quran”. Beliau juga menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kelakuan liar segelintir yang hadir sesi dialog dengan MB, yang katanya “seperti dirasuk syaitan kehaiwanan, mengugut dan memaki hamun”.

Pada awalnya tulisan beliau kelihatan waras dan wajar.

Namun apabila terus membaca tulisannya, didapati beliau membela mereka dan menyalahkan pula kerajaan Negeri Selangor yang katanya ‘menceroboh’ tanah di Seksyen 23. Ummat Islam dikatakan sebagai ummat yang ditindas di bumi sendiri. Akhirnya amat jelas pendirian beliau adalah menyebelahi pihak segelintir penduduk tersebut dan sokongan beliau terhadap tindakan mereka sebenarnya mendedahkan pendekatan beliau sendiri terhadap orang bukan Islam.

Adakah Ahli PAS Terlibat?
Sebelum mengupas tulisan beliau dalam soal ini dan mendedahkan kesilapan dan prejudis beliau sendiri, biarlah saya nyatakan di sini bahawa dakwaan kononnya ada seorang ahli PKR dan 4 ahli PAS yang terlibat di dalam demo tersebut hanya merupakan dakwaan semata-mata. Hingga ke hari ini tiada apa-apa bukti dikemukakan. Saya telah mencabar Hishamuddin untuk mengemukakan bukti dan sekiranya benar saya akan mendesak PAS supaya memecat mereka. Ini adalah kerana tindakan mereka seperti yang ditegaskan oleh YB Zul adalah “tidak dihalalkan dan ditegah oleh Al-Quran”.

Namun hingga ke hari ini, tiada apa-apa yang dikemukakan sebagai bukti. Amat pelik apabila YB Zul menzahirkan keyakinan dengan begitu padu terhadap laporan akhbar yang dikuasai BN.

Begitu juga dengan kenyataan YB Zul “ternyata mereka bersatu dalam aqidah walau berbeza dari segi wadah”. Bunyi betul-betul macam UMNO yang sedang gilakan perpaduan dengan PAS. Betul ke tiada perbezaan ‘akidah’ di antara PAS, UMNO dan PKR? Yang berbeza hanya wadah? Kalau begitu patutlah ada yang meminta kita bersatu supaya perbezaan itu selesai kerana yang berbeza hanya wadah. Nampak gaya selama ini YB Zul sendiri tidak faham mengapa PAS menentang UMNO dan mengapa PAS wujud sebagai PAS, tidak bersatu dengan UMNO.

Sebenarnya yang sama adalah semuanya Melayu, walaupun ada yang macam mamak atau yang macam cina. Mungkin bagi YB Zul, Melayu adalah akidah.

Hakikatnya isu ini didalangi UMNO. Pemimpin UMNO (Noh Omar) turun menghasut segelintir penduduk ahli UMNO tegar, penyokong Ketua Bahagian UMNO Shah Alam, untuk bertindak menentang cadangan kerajaan walaupun belum lagi mendengar cadangan tersebut. Pemimpin UMNO juga (Hishamuddin) yang membela pendemonstrasi selepas demonstrasi berkenaan seperti yang sedang dilakukan YB Zul. Jangan nak libatkan PAS atau PKR. Usaha nak kaitkan PAS adalah taktik kotor UMNO.

Apa Arahan Kerajaan Selangor?
Menurut YB Zul, kerajaan Negeri Selangor keluarkan arahan “bina ‘kuil besar’ di Seksyen 23 di kawasan kediaman ummat Islam”. Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat beliau tetapi seperti biasa YB Zul cakap tanpa selidik. Hanya nak sensasi sahaja.

Kerajaan Selangor hanya mencadangkan tapak baru bagi kuil yang sediada di Seksyen 19. Bukan kuil baru. Kerajaan Selangor BN dulu cadangkan kuil tersebut dipindahkan ke Seksyen 18 (6 ekar untuk 7 kuil) pada awalnya dan seterusnya ke Seksyen 22 (1 ekar untuk kuil itu sahaja). Kami mencadangkan ia dipindahkan ke Seksyen 23, dalam kawasan Industri, bukan di kawasan kediaman ummat Islam. Rumah terdekat terletak 200 meter dari tapak cadangan tersebut. Luas tanah untuk kuil adalah ¼ ekar dan ¼ ekar lagi untuk tempat letak kereta.

Dari maklumat di atas, pemindahan kuil itu tidak merupakan isu dan diusahakan sejak zaman BN lagi. Namun mereka gagal. Oleh itu, mereka kuathir kita berjaya!

Persoalannya adakah benar kerajaan arah ‘bina kuil besar’ di ‘kawasan kediaman ummat Islam’? Jelas tidak benar. Istilah ‘bina’, ‘kuil besar’ dan ‘kawasan kediaman ummat Islam’ semuanya istilah yang digunakan UMNO untuk mengelirukan ummat Islam dan menaikkan semangat kebencian mereka. YB Zul seolah-olah terpengaruh propaganda UMNO! Bukan sekadar itu, sanggup pula memanjangkannya!

Hakikatnya, kerajaan tidak ‘bina’, tiada ‘kuil besar’ dan bukan juga di ‘kawasan kediaman ummat Islam’. Ia di kawasan industri.

Benarkah ‘Wakil Hindu’ Menghina Azan?
Pertama, tiada ‘wakil Hindu’ sepertimana juga tiada ‘wakil Islam’. YB Zul mungkin menganggap kumpulan liar mewakili Islam, saya tidak. Mereka didalangi UMNO. Mungkin YB Zul anggap UMNO mewakili Islam. Saya tidak.

Yang hadir adalah penduduk. Seorang penduduk yang beragama Hindu menyebut, “kami tiada masalah dengan azan 5 kali sehari...” Mendengar itu kumpulan liar terus bertindak liar. Mungkin malu sendiri dengan sikap ekstrim mereka berbanding toleransi orang Hindu maka ingin menenggelamkan suara penduduk Hindu tersebut.

Dalam kes ini saya tidak nampak penduduk Hindu berkenaan menghina azan. Yang saya nampak adalah kumpulan liar menghina Islam dengan mendakwa tindakan liar mereka adalah atas nama Islam. YB Zul jangan menyokong atas dasar ‘asobiyyah’. Kerana satu pihak Hindu dan satu pihak lagi Melayu, maka kita sokong Melayu walaupun tindakan mereka bercanggah dengan Al-Quran.

Atas semangat yang sama YB Zul bertanyakan kisah Jeff Ooi dan Majlis Peguam. Saya rasa isu Jeff Ooi sudah selesai. Beliau sudah pun menarik kembali kenyataan beliau. Ini membuktikan bahawa untuk membetulkan salah faham dan salah tanggap tidak perlu kita bertindak seperti samseng. Jelaskan secara hikmah. Bila kita bertindak sebegitu kita rasa kita ‘teror’ tetapi orang nampak kita bodoh dan lemah akal. Tidak mampu berhujjah. Hanya mampu mengugut dan bertindak kasar.

Setelah dijelaskan Jeff Ooi menyedari kesilapan beliau dan menarik semula kenyataannya. Tanpa ugutan. Tanpa kesamsengan. Begitu juga perlu kita usahakan dengan Majlis Peguam. Kita faham bahawa mereka dipengaruhi fahaman kebaratan. Macam UMNO juga.Tetapi UMNO kononnya parti orang Islam. Majlis Peguam tidak. Nilai-nilai mereka dipengaruhi nilai-nilai dominan tamaddun Barat. Persepsi mereka terhadap undang-undang syariah agak meleset hasil kekeliruan yang tersebar luas oleh UMNO. Kita perlu berhujjah membetulkan fahaman mereka dan ini yang sedang dilakukan oleh beberapa pemimpin. Seperti tersiar dalam Harakah di mana pimpinan menjelaskan isu Kartika dari sudut pandangan Islam. Kewajaran dan falsafah hukum Syariah. Bezanya hukum sebat syariah dan sebat sivil. Dan sebagainya. Tidak perlu samseng. Tidak perlu ugut. Inilah dakwah. Ini yang saya rasa YB Zul tidak faham. Adakah yang beliau faham dakwah tu samseng, ugut. Naik berang dan naik marah bila orang bukan Islam mempersoalkan keadilan undang-undang Islam. Tunjuk ‘act’?

Tetapi Al-Quran ada menyebut “Seru kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat serta contoh yang baik dan berhujjah dengan mereka dengan cara yang terbaik…” Tiada sebut kaedah samseng, tiada juga kaedah ugut. Terangkan sahaja dengan tenang, dengan hujjah dan anggap keadaan ini sebagai peluang untuk memberi penjelasan mengenai Islam. Peluang untuk berdakwah bukan alasan untuk naik berang.

Biasanya orang tunjuk samseng kerana tidak mampu berhujjah. Pelik juga, ada juga peguam yang tidak mampu berhujjah ke?

Memutarbelit Al-Quran
YB Zul menuduh sayalah tu, maka tidak perlulah berlapik dengan mengatakan Pak Janggut memutarbelitkan Al-Quran untuk mempertahankan pembinaan kuil. Pertama, kita tidak bina kuil. Kita hanya beri tapak. Ganti tapak lama yang akan diambil alih PKNS. Kedua, bukan kuil tambahan tetapi kuil lama yang hendak dipindahkan. Ketiga, ayat mana yang diputarbelit dan bagaimana tidak dijelaskan. Kebiasaannya cara UMNO, buat tuduhan tapi tidak ada fakta. Janganlah ikut cara mereka.

Sebagai ummat Islam, Al-Quran adalah rujukan kepada semua persoalan. Walaupun berhubung isu kuil. Dalam soal ini saya harap YB Zul setuju. Kecuali beliau ingin merujuk ‘Mein Kempf’ pula apabila menguruskan persoalan kuil!

Saya sebut Al-Quran menuntut ummat Islam bertindak adil terhadap semua, termasuk yang bukan Islam. YB Zul setuju tetapi beliau menyatakan kita hanya adil terhadap kebajikan mereka. “Dalam soal ketuhanan”, kata beliau lagi, “tidak timbul keadilan”. Ada sesiapa yang faham kenyataan beliau ini? Saya tidak faham. Adakah dimaksudkan dalam soal ketuhanan Islam meminta kita bertindak zalim? Kerana lawan adil adalah zalim. Jika itulah yang dimaksudkan maka saya tidak setuju kerana Islam adil dalam semua aspek.

Beliau terus menyebut pula, “kita memelihara tempat ibadat mereka, bukan mewujudkan yang baru dicelah kediaman kita”. YB Zul tidak tahukah, yang terletak di ‘celah kediaman’ orang Islam ialah yang di Seksyen 19. Itulah antara sebabnya kita cuba pindahkan dan dicadangkan ke Seksyen 23, yang berjauhan dari kawasan kediaman. Dan ianya bukan soal bina kuil baru. Ianya soal pemindahan. Haai... kalau tidak tahu jangan cakaplah.

Walaubagaimanapun saya setuju dengan YB Zul dalam satu hal. Sepatutnya kita “memelihara tempat ibadat mereka” dengan mengambil kira wujudnya kuil berkenaan di situ semasa kawasan perumahan dibangunkan. Ini tidak. Dibina rumah keliling kuil seolah-olah kuil tersebut tiada, dijualnya pula tanpa menyatakan wujudnya kuil tersebut dan sekarang apabila timbul masalah dengan penduduk sekeliling, terpaksa pula kita pindahkan.

Satu lagi dakwaan yang ditimbulkan oleh YB Zul ialah haramnya pembinaan kuil baru. Adakah benar ianya haram dan ditegah sama sekali oleh Islam? Walaupun penduduk semakin ramai, yang Islam dan bukan Islam, adakah benar pembinaan kuil, gereja serta tok kong baru ditegah? Yang boleh dibina hanya Masjid dan Surau untuk menampung pertambahan penduduk? Kalau benarlah dakwaan YB Zul, maknanya setiap perumahan baru, bandar baru, tidak kira ada berapa ramai penduduk bukan Islam, tidak boleh dibina tempat ibadat untuk mereka.

Hmmm, ulama’ mana pula rujukan beliau. Saya tahu Islam tidak sesempit itu. Saya syorkan beliau buat rujukan betul-betul, jangan main buat hukum ikut perasaan dan emosi beliau. Islam ini agama Allah, bukan agama rekaan manusia yang berhati sempit.

Ulama zaman dahulu telah banyak berbincang berhubung persoalan pembinaan tempat ibadah orang bukan Islam. Di mana boleh, di mana tidak boleh. Kalau di kawasan orang Islam ramai bagaimana. Apa syarat-syaaratnya dan sebagainya. Bukan buat hukum borong seperti orang yang jahil.

Statistik Kuil dan Masjid
Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran statistik YB Zul. Yang saya tahu statistik di Shah Alam, Seksyen 1 hingga seksyen 24. Kuil yang berdaftar hanya 10. Tiga darinya duduk atas tapak yang siap diwarta sebagai ‘tapak kuil’ dan tujuh yang lain, termasuk yang di Seksyen 19, akan dipindahkan ke tapak yang lebih sesuai yang akan diwartakan sebagai tapak kuil. Atau, jika tiada masalah mungkin tapak sediada terus diwartakan sebagai tapak kuil dan kuil kekal di situ setelah mengambil kira berbagai factor. Tetapi untuk Seksyen 19 tidak sesuai.

Masjid dan Surau, tidak termasuk surau di pejabat-pejabat, kompleks beli belah, kawasan R&R, stesyen minyak dan sebagainya, di Shah Alam sahaja ada 106. Statistik YB Zul hanya menceritakan Masjid sedangkan surau-surau pun banyak dan perlu juga diambil kira untuk memberi gambaran yang lebih tepat. Inilah masalah apabila ambil statistik bersumberkan UMNO. UMNO ini jahat. Semuanya ada udang sebalik batu. Termasuklah statistiknya.

Sekarang soalnya Shah Alam. Kalau di tempat lain terlalu banyak kuil, tangani ditempat berkenaan. Maka tidak perlu babitkan Shah Alam. Di Shah Alam kuil hanya 10 dan untuk Seksyen 19, 20 dan 23 hanya ada satu untuk penduduk beragama Hindu yang seramai 3,000 lebih. Tidakkah adil mereka dibenarkan sebuah kuil? Atau adakah dalam soal ini ‘kezaliman’ dituntut oleh Islam mengikut pandangan YB Zul?

Soal Hak Penduduk Seksyen 23
YB Zul menyatakan penduduk tidak diberikan hak. Hairan saya. Bukankah diadakan majlis dialog untuk mendengar pandangan penduduk?

Masalahnya sebelum majlis dialog itu diadakan segelintir dari mereka telah bertindak kerana adanya agenda politik. Kalau tiada agenda politik, tiada sebab mereka perlu bertindak sedemikian rupa. Mereka telah diberitahu majlis itu akan diadakan mengikut prosesnya. Tunggu sahajalah. Tetapi tidak. Heret kepala lembulah.....lepas itu bila dunia kecam tindakan mereka sebagai melampau, salahkan kerajaan Negeri! Yang kamu buat kerja seperti itu siapa suruh?

Bila diadakan majlis dialog pula, tunjuk perangai. Tuduh orang tidak mahu dengar tetapi akhirnya dunia tahu siapa yang tidak mahu dengar. Geng samseng UMNO sememangnya tidak boleh dibawa berbincang. Takde class.

Soal Surah Al-Baqarah dan Ibadah Korban
Dari mana pula datangnya ide YB Zul untuk mengharamkan bacaan Surah Al-Baqarah? YB Zul baca Surah Al-Baqarah dengan niat nak menghina lembu dan agama Hindu ke? Surah Al-Baqarah tiada kena mengena dengan tindakan menghina lembu atau agama Hindu. Orang Islam baca Surah Al-Baqarah untuk mendapat petunjuk dalam soal mentadbir diri, masyarakat, negara dan dunia mengikut kehendak Allah. Ada disuruh menghina lembu atau agama lain dalam Surah Al-Baqarah ke?

Begitu juga soal korban. Apabila lembu disembelih, adakah YB Zul meniatkan untuk hina lembu dan agama Hindu? Kalau Ya, maka adalah haram memakan daging lembu yang disembelih dengan niat sebegitu. Niat korban hanya untuk Allah, untuk mencari keredaanNya. Disebut nama Allah yang Ar-Rahman dan Ar-Rahim, bukannya “cis Hindu aku bunuh lembu”. Perbezaan ketara bagi yang pertama dipenuhi perasaan rendah diri dan kelembutan, mengharapkan keampunan Illahi. Yang satu lagi dipenuhi kebencian.
Kasihan orang yang menganggap dirinya pembela agama Allah,
Walhal sebenarnya merupakan penghalang kepadanya.
Menjatuhkan imej Islam dengan setiap perkataan
Yang ditutur kononnya untuk membelanya.
Mana mungkin menjadi pembela Islam sedangkan hati dipenuh prejudis!
Melihat manusia mad’unya tanpa perasaan kasihan belas.
Sebaliknya kebencian yang teramat,
sehingga kezaliman dilihat sebagai keadilan,
penindasan pula sebagai pertolongan...

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

Anwar Palu Gendang Perang menggempur Bagan Pinang.

Selepas Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kedudukannya dalam 8 dari 9 pilihanraya kecil pasca pru12 lalu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membunyikan gendang perang menandakan bermulanya kempen menggempur Bagan Pinang.